Petang itu redup. Tidak tersangka-sangka di
penghujung tahun begini, matahari masih sudi menunjukkan rupa. Barangkali Tuhan
ada pesan, jarang-jarang selaklah awan supaya makhluk di bumi tak kejung dek
dingin hujan. Redup, angin sejuk. Mama bilang, jika mahu tahu bagaimana hawa
negeri Kanggaru itu ibarat menghadap sepoi penyaman udara tetapi berdiri di
terik siang. Begitu enaknya. Bagiku, redup dan sedikit angin sejuk sudah
memadai kerana kami bersandar di dahan pokok.
Dia sederhana berselipar jepun,
tangan di saku jeans yang menunggu masa untuk rabak. Sebelah badan masih menyandar
selepas aku beralih tempat kebosanan. Mencangkung, kukuis dedaun kering-lembab
di tanah.
"Rasa macam makin
sesatlah." kerling ke mana hala pandangan matanya. Tunggu respon.
"Hm?" sepatah. Kening
sahaja diangkat tanda tanya. Sepatah. Bertuah.
"Sesat tak jumpa cari jalan
pulang." aku jelaskan seringkas rasa sesat yang dirasakan sekarang. Kali ini
giliran tanah pula dikuis, selepas dedaun diselak bogel. Mungkin jika dikuis
tanah ini penuh konsentrasi, cacing pula muncul sebagai makhluk ketiga.
"Ini." dia angkat lengan
kedua belah gaya robot tak cukup sifat. "Ini." dia ulang.
"Apa? Angkat tangan macam tu.
Nak menari robot ke apa?" aku balas malas. Debu habuk yang terlekat di
kain dikibas-kibas, mula bangkit. Tak puas hati bila ditanya soalan jawabnya
bahasa isyarat bahasa badan gerak tangan. Aku tak ambil lagi kursus penuh
'Teknik Memahami Bahasa Badan Manusia'.
Dia gelak. Tangan masih bergaya
robot atau hantu pocong a la filem cina zaman dulu-dulu. Hantu yang
lompat-lompat kejar orang tu, bila ditampal azimat ke dahi muka baru beku. Iya,
macam itu lah gaya dia.
"Ini. Jalan pulang..."
gelak kecil mati. Aku tarik balik muncung-muncung mulut selepas bebel tidak
puas hati tadi. Dia tenung tajam, riak muka agak serius agak tidak berperasaan.
"Hahah!" aku tepis rasa
debar dengan gelak sinis. Amboi! Jalan pulang untuk rasa sesat kita rupanya
pulang ke dakapan dia.
Bertuah!
TaMMaT
0 comments:
Post a Comment